Ramai hidap kencing manis di Kelantan
KOTA BHARU 7 Feb. - Kelantan menjadi negeri yang mempunyai jumlah penghidap penyakit kencing manis tertinggi iaitu seramai 78,000 orang, dengan kebanyakannya berusia 30 tahun ke atas.Kajian Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati jumlah tersebut melonjak lebih sekali ganda kepada 13 peratus daripada 600,000 penduduk dewasa di negeri ini, berbanding hanya 5.3 peratus 10 tahun lalu.
Jika diambil kaedah perkiraan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ini bermakna hampir satu pertiga penduduk negeri ini menghidap atau mempunyai gejala penyakit berkenaan yang juga dikenali sebagai diabetis.
Ini kerana WHO menganggarkan bagi setiap satu kes diabetis yang dikesan, akan ada satu lagi kes yang tidak dapat dikesan.
Setiausaha Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Ab. Aziz al-Safi Ismail berkata, lebih membimbangkan ialah jumlah itu menunjukkan berlakunya peningkatan lebih 100 peratus.
``Ini kerana pada 1996, kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan hanya 5.3 peratus penduduk dewasa di Kelantan menghidap diabetis tetapi kajian 2004 menunjukkan sebanyak 13 peratus.
``Sebab itulah juga 95.3 peratus daripada jumlah mereka yang kehilangan anggota badan di negeri ini adalah akibat gejala kencing manis,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah beliau, kajian itu juga mendedahkan 70 peratus daripada penghidap diabetis di Kelantan adalah tergolong dalam pesakit yang mempunyai jumlah gula tidak terkawal.
Katanya, pesakit diabetis di negeri ini juga mempunyai purata kandungan gula dalam badan yang tertinggi di Malaysia iaitu 10.7 peratus berdasarkan perkiraan HBA1C sedangkan purata bagi seluruh negara ialah 9.1 peratus sahaja.